15:27

KEKUATAN SEORANG KETUA TERLETAK PADA “BERSIH”

Di zaman era perubahan yang tak menentu ini, kita tidak boleh lari dari membicarakan tentang persoalan kepimpinan. Kepimpinan merupakan satu aspek yang sangat luas dan penting dalam kehidupan kita ini. Tanpa kepimpinan kita akan berada dalam keadaan kemunduran dan jauh dari kehidupan yang bertamadun.

Berbicara tentang kepimpinan ini, saya ingin berkongsi pandangan dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai kekuatan seorang ketua@pemimpin ( leader strength). Satu organisasi kepimpinan tidak akan sempurna sekiranya tiada ketua hendak memimpinnya, tanpa ketua sesuatu gerak kerja yang ditetapkan dalam satu organisasi tidak akan dapat berjalan dengan lancar kerana akan timbul pertindihan pandangan dan arahan.

Pada kali ini saya hendak fokuskan soal kepimpinan ini melalui kekuatan seorang ketua dalam menguruskan hal-hal berkenaan dengan kepimpinan ini.Saya yakin sahabat-sahabat sekalian pernah menjadi seorang ketua tidak kiralah sebagai ketua kelas,ketua kelab,ketua sukan @ ketua persatuan dan sebagainya. Saya juga yakin dalam memimpin ini kita akan mengalami beberapa pengalaman pahit dan manis yang terpahat di dalam diari kehidupan masing-masing yang tidak mungkin dapat dilupakan. Secara fitrahnya setiap insan diciptakan untuk menjadi seorang pemimpin baik memimpin diri,masyarakat mahupun Negara. Hal ini Allah s.w.t telah jelaskan dalam kitabnya:

Allah berfirman yang bermaksud :

“ Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman pada para malaikat; sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi” (al- Baqarah : 30 )

Memang tidak dapat dinafikan bahawa bebanan amanah yang perlu ditanggung untuk memimpin adalah sangat berat dan sukar. Seorang pemimpin perlu mengharungi pelbagai cabaran dan ujian sepanjang ia memimpin. Tapi ingatlah, Allah meletakkan sesuatu perkara itu kena pada tempatnya, ia terbukti dalam firmanNya :

Allah berfirman yang bermaksud :

“ Allah tidak akan membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupannya” ( al – Baqarah:286)

Untuk menjadi seorang pemimpin kita hendaklah mengetahui di manakah sumber kekuatan kita. Di sini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian di manakah sumber kekuatan seorang ketua.

Perkara yang pertama dan utama yang perlu dimiliki oleh setiap ketua@pemimpin bagi mendapatkan kekuatan diri dalam memimpin ialah HATI YANG BERSIH. Hati yang bersih yang saya maksudkan di sini ialah hati yang ikhlas pada Allah s.w.t dan hati yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah s.w.t dalam memimpin ini. Hati yang ikhlas akan memberikan satu kekuatan pada seorang ketua kerana dia telah menyerahkan seratus peratus dirinya dalam proses memimpin ini pada Allah s.w.t. Datanglah berapa banyak cabaran,kritikan ataupun penentangan semasa ia memimpin nescaya ia mampu melepasinya kerana dia yakin bahawa Allah sentiasa bersama dan akan menolongnya. Hati yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah akan sentiasa memperolehi kekuatan dariNya kerana hati yang macam inilah yang akan sentiasa dalam keadaan tenang dan yakin pada keredhaan Allah s.w.t.

Untuk mendapatkan kekuatan dalam memimpin juga seorang ketua perlulah berusaha untuk memiliki MENTAL YANG BERSIH. Mental yang bersih ialah mental yang mampu membimbing diri untuk memiliki segala sifat-sifat mahmudah serta jauh dari segala sifat-sifat mazmumah. Mental yang bersih juga ialah mental yang mampu untuk bersabar dan sentiasa bersemangat dalam menempuh segala cabaran dan dugaan dalam memimpin. Keberanian untuk memimpin juga merupakan sumber kekuatan untuk memiliki mental yang bersih kerana tanpa keberanian dan keyakinan seorang ketua tidak akan sanggup untuk berdepan dengan sebarang cabaran dan dugaan sebagi seorang ketua.

ILMU YANG BERSIH adalah salah satu sumber kekuatan seorang ketua. Ilmu yang bersih ialah ilmu yang dapat memberi manfaat pada diri serta manfaat pada orang lain. Setiap ketua perlulah menguasai beberapa cabang ilmu tak kiralah ilmu agama mahupun ilmu dunia bagi membantunya dalam memperolehi kekuatan dalam memimpin. Dengan ilmu yang banyak seorang ketua mampu menyelesaikan persoalan ataupun permasalahan yang di hadapinya dalam keadaan tenang dan baik. Dengan ilmu jugalah seorang ketua mampu untuk membuat keputusan dan tindakan dengan rasional dan mantap.Tanpa ilmu sudah tentu corak kepimpinan seorang ketua akan berada dalam keadaan tidak teratur dan penuh dengan masalah dan kekecelaruan.

Di dalam konsep kepimpinan hubungan antara pengikut dan ketua tidak dapat di pisahkan. Tanpa kedua-duanya sudah tentulah tiada kepimpinan. Oleh itu, PENGIKUT YANG BERSIH adalah penyumbang terbesar dalam memberikan kekuatan pada seorang ketua.Pengikut yang bersih ialah pengikut yang memiliki semua sifat di atas iaitu HATI YANG BERSIH, MENTAL YANG BERSIH & ILMU YANG BERSIH.Pengikut yang bersih ini juga adalah pengikut yang setia pada ketuanya, mampu memahami bebanan amanah yang di pikul oleh ketuanya dan sentiasa memberikan komitmen pada ketuanya walau dalam keadaan apa sekalipun. Pengikut ini juga sentiasa memberikan semangat dan sokongan pada ketuanya:

jikalau ketuanya suka, dia juga suka

jikalau ketuanya berduka, dia juga berduka

jikalau ketuanya Berjaya, dia juga Berjaya

jikalau ketuanya gagal, dia juga gagal

jikalau ketuanya sanggup berkorban demi perjuangan, dia akan pastikan ia tersenarai dalam golongan pengikut-pengikut yang sanggup berkorban demi perjuangan.


Wahai pengikut yang beriman! Sedarkah kamu sekalian bahawa kamu adalah sumber kekuatan seorang ketua? . Jika engkau lemah, engkau juga telah melemahkan ketuamu. Oleh itu, bersemangatlah dalam membantu ketuamu menguruskan kepimpinan ini. Tanpamu walau sehebat manapun ketuamu itu sudah tentu dia akan gagal dalam memimpin.

Akhirnya, saya mengharapkan perkongsian saya ini bermanfaat pada diri saya sendiri dan juga member manfaat kepada sahabat pembaca sekalian.Sesungguhnya yang baik itu adalah dating dari Allah dan yang buruk itu juga datang dari Allah tetapi disandarkan pada diri yang lemah ini…Pemimpin yang kuat ialah pemimpin yang mampu berdiri teguh dalam keadaan susah mahupun senang...Sama-sama kita renung dan beramal dengan hati yang ikhlas..

1 comments:

biohealthsouvenir said...

BERSIH...Suci lagi menyucikan...Kekuatan seorang ketua terletak pada "SUCI"...ibarat air mutlak, ia suci lagi menyucikan...p jika dan hanya jika q..jika p maka q, jika q maka q..pengikut 'suci' jika dan hanya jika pemimpin 'suci'..jika pengikut suci maka pemimpin 'suci'..jika pemimpin 'suci' maka pengikut 'suci'...dan setiap kita adalah pemimpin..pemimpin kepada diri sendiri..Maka Ya Allah bantulah kami dalam menyucikan hati,mental dan ilmu kami...amin ya Robbal 'alamin